“SAYA AKAN LEPASKAN EMMA” – ZIZAN RAZAK

Pelakon dan pelawak Zizan Razak berasa pelik bagaimana boleh timbul isu kekasihnya, Emma Maembong diberitakan bakal disaman oleh pihak pengurusan WireFame Entertainment (WFE). Sedangkan dia selaku pemilik bersama syarikat tersebut kurang jelas dan tidak tahu menahu mengenai hal itu.

“Saya pun sebenarnya pelik macam mana cerita saman itu boleh timbul. Setahu saya kalau diikutkan, kontrak Emma tamat sehingga bulan Jun ini. Jadi kenapa pula ada keluar cerita saman ini.

“Bagi saya, pihak pengurusan sepatutnya tak perlu lah nak besar-besarkan lagi perkara yang dah hampir nak selesai. Kontrak Emma pun dah hampir tamat”, kata Zizan ketika diminta mengulas mengenai hal tersebut ketika ditemui pada majlis Astro Meraikan Media yang diadakan di hotel Le Meridien, Kuala Lumpur, semalam.

Menyatakan yang dia tidak menyokong mana-mana pihak, bintang filem ‘Abang Long Fadil’ itu bagaimanapun berharap agar konflik di antara Emma dan WFE tidak berpanjangan dan dapat diselesaikan secara baik.

Malah kata Zizan, kalau ditanyakan keputusannya selaku pemegang saham dalam syarikat tersebut, dia bersedia untuk membebaskan pelakon cantik Emma Maembong daripada syarikat sebaik saja tempoh kontrak Emma dengan WFE betul-betul tamat.

“Bagi saya, daripada menyusahkan kedua-dua pihak dan mungkin akan timbul lagi macam-macam masalah, saya akan release-kan (lepaskan) Emma. Saya harap perkara ini boleh selesai secara baik lah.

“Saya sendiri hendak berjumpa dengan pihak WFE untuk membincangkan beberapa perkara yang melibatkan diri saya. Sayangnya buat masa ini saya tidak ada ada peluang lagi kerana jadual saya terlalu padat”, ujarnya yang kini telah menjadi artis naungan Astro.

Zizan yang dahulu juga merupakan artis dibawah naungan WFE, difahamkan sehingga kini masih kekal sebagai pemilik saham terbesar syarikat berkenaan iaitu sebanyak 70%.

Sementara ditanya mengenai perkembangan hubungan dengan Emma, jejaka kelahiran Terengganu ini berkata dia ada memikirkan untuk menyunting aktres itu menjadi isterinya namun setakat ini tiada sebarang perbincangan yang serius.

“Tarikh kahwin tak ada lagi. Belum bincang apa-apa lagi. Saya sibuk dengan kerja saya, dia sibuk dengan kerja dia. Lagipun hal ini bukan tentang kami berdua sahaja tapi melibatkan kedua-dua belah pihak keluarga”, katanya yang turut meluahkan rasa gembira kerana ramai peminat yang merestui hubungan mereka berdua.

Sumber www.siakapkeli.com

1 Response to "“SAYA AKAN LEPASKAN EMMA” – ZIZAN RAZAK"

  1. WFE ni sebenarnya cemburu dgn hubungan diorang ni

    ReplyDelete

Note: only a member of this blog may post a comment.