Kejadian Sebenar Lelaki Dibaham Harimau Putih Di Zoo Delhi

Kisah tragis seorang lelaki dibaham harimau putih depan pengunjung Zoo Delhi, selasa lalu telah menjadi viral di seluruh dunia.
Berdasarkan keterangan saksi kejadian itu didakwa berlaku kerana besi pengadang terlalu rendah hingga mangsa yang tergelincir dengan mudah jatuh ke dalam kandang harimau.

Bagaimana pun siasatan pihak zoo mendapati mangsa yang dikenal pasti sebagai pekerja kilang bernama Maqsood, 19, sebenarnya bertindak suka rela memanjat besi penghadang sebelum turun ke kawasan berumput yang memisahkan besi penghadang tersebut dengan kawasan kandang.

Maqsood dikatakan mempunyai masalah mental dan datang ke zoo seorang diri pada hari kejadian selepas dimarahi ibunya kerana tidak pergi kerja.
Pengarah zoo Amitabh Agnihotri berkata, Maqsood kemudiannya memanjat dinding konkrit paras lutut lalu terjun ke kandang harimau yang terletak 18 kaki di bawahnya.


Harimau putih berasa terancam dengan kehadirannya namun cuma merenung pada Maqsood yang melutut dan tersandar ketakutan di dinding selama 10 minit.
Apabila orang ramai dan kaki tangan zoo cuba mengalihkan perhatian harimau dengan membaling batu dan kayu sambil berbuat bising,  barulah haiwan itu menggigit leher Maqsood lalu menggonggongnya pergi dalam keadaan berlumuran darah.

Dalam pada itu pihak Zoo Delhi menyatakan harimau putih seberat 200kg yang membunuh mangsa kelihatan normal dan meneruskan rutin seperti biasa selepas kejadian.
Difahamkan, pihak zoo tidak bercadang untuk mengeluarkan haiwan tersebut yang lahir dan dibesarkan di zoo berkenaan selama ini kerana ia dianggap jinak dan kejadian tempoh hari berlaku disebabkan reaksi normal harimau apabila kawasan diceroboh secara tiba-tiba.

“Ia tidak menyerang dan hanya bertindak ganas selepas seseorang membaling batu ke badannya,” ujar juru cakap zoo.
Namun apa pun alasannya, pihak polis berkata zoo berkenaan akan tetap didakwa kerana cuai.
Difahamkan enam tahun lalu seorang lelaki dilaporkan nyaris menjadi mangsa singa di zoo sama apabila terjatuh ke dalam kandang namun bernasib baik apabila tidak diapa-apakan haiwan tersebut.

Sumber mynewshub.cc

0 Response to "Kejadian Sebenar Lelaki Dibaham Harimau Putih Di Zoo Delhi"

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.