Istiadat Tabal Jin Kesultanan Perak

"Dan Aku (Allah) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah Ku (Allah)"

surah ad-zariyyat : 56

"Jin itu wujud berdasarkan keterangan dari surah dalam Al-Quran di atas, sapa yang menolaknya maka berdosa besarlah kerana telah menolak satu ayat dari Al-Quran. berita pasal pertabalan jin ni aku tak pasti..sebab aku tak pernah masuk dalam istana sultan perak.. kat chandan puteri tu.. tapi aku teringat balik waktu pertama kali ustaz aku ceritakan pengalaman dia dan 39 rakan lagi untuk baca yassin dan sama-sama menghalau jin yang berada di istana sultan perak..pelbagai larangan dan pantang sekiranya korang pergi ke istana lama tersebut.tak percaya pergi sendiri ye ;D. dan aku nak kongsi ngan korang macam mane proses pertabalan jin ni.. hukum pun aku tak pasti.. maaf sangat.. korang boleh rujuk yang lebih pakar tentang agama...."

TABAL JIN adalah merupakan suatu istiadat turun temurun bagi Salahsilah Kesultanan Perak.Cuma di Negeri Perak ini sahaja yang ada istiadat TABAL JIN didalam Tanah Melayu ini. Negeri Perak merupakan salah satu negeri yang tertua dirantau ini dan Sultan yang memerintah biasanya didampingi oleh JIN-JIN Islam. Disini kita akan melihat kedaulatan seseorang Sultan itu, dimana baginda akan di NOBATKAN dahulu sewaktu hari pertabalan baginda. Istiadat Tabal Jin ini biasanya dilakukan pada sebelah senja/malam dan diterangi hanya oleh dian (lilin) sahaja.
Istiadat TABAL JIN dimulakan dengan paluan NOBAT DIRAJA pada sebelah senja sehari selepas Istiadat TABAL ADAT disempurnakan. Istiadat ini dilakukan pada waktu malam.

Selepas Jejawat Berlembing dan Jejawat Berpayung Ubur serta Jejawat Perempuan, memegang kaki dian dan Bentara Perempuan membawa Perkakas Istiadat Merenjis mengambil tempat masing-masing didalam Balairong Seri didahului oleh Panglima Dalam dan diapit oleh Panglima Perang Kanan dan Panglima Perang Kiri, dan dibelakang nya Pawang DiRaja menatang akan PEDANG CURA SIMANJA KINI, bersama Toh Seri Nara DiRaja menatang PONTOH BERNAGA dan PONTOH ULAR LIDI diatas talam berlapikkan kain kuning dan diikuti oleh Sida-Sida. Biduanda-Biduanda menatang PERKAKAS KERAJAN masuk ke Balairong Seri dan diletakkan kesemua diatas meja yang disediakan di iringi dengan paluan NOBAT.

Selepas itu Pawang DiRaja dengan menatang PEDANG CURA SIMANJA KINI dan Toh Seri Nara DiRaja menatang PONTOH BERNAGA dan PONTOH ULAR LIDI keluar dari Balairong Seri didahului oleh Panglima-Panglima masuk ke Kamar Persenangan lalu mempersembahkan kepada Kebawah Duli Paduka Seri Sultan. Baginda kemudian diiringi berangkat ke Balairong Seri dengan iringan paluan NOBAT 'Raja Berangkat'.

Apabila sampai di Singgahsana, Baginda Sultan akan bersemayam diatas 'Chior Keemasan' yang disediakan dihadapan Singgahsana. Kemudian Pawang DiRaja mengadap dan mempersembahkan PEDANG CURA SIMANJA KINI kepada Baginda Sultan yang akan meriba Pedang tersebut. Selepas itu PERKAKAS KERAJAN dibawa mengadap oleh Sida-Sida dan Biduanda-Biduanda kehadapan Baginda Sultan. Kemudian dikuti pula oleh Bentara Toh Ratna Senari dan Bentara Toh Ratna Wati masuk mengadap membawa PERKAKAS ISTIADAT MERENJIS dan dikuti pula oleh Toh Setia Guna (Ketua Nobat) bersama Ahli-Ahli Nobat DiRaja masuk ke Balairong Seri memohon limpah perkenan Baginda untuk meletak PERKAKAS NOBAT DIRAJA ditempat yang telah disediakan. Kemudian 'Istiadat Memulih' PERKAKAS KERAJAN dan PERKAKAS NOBAT DIRAJA dijalankan dan juga 'Merenjis Tepung Tawar'. Setelah selesai bacaan Doa Selamat disempurnakan oleh Sahibul Mufti Kerajaan Negeri Perak.

Satelah selesai upacara 'Memulih Perkakas Kerajan dan Merenjis Tepung Tawar', diikuti pula dengan 'Istiadat Bersiram Tabal' (Mandi Sampat) dimulakan di PANCA PERSADA. Baginda Sultan dan isteri akan berangkat dari Pintu Besar Istana. Pawang DiRaja memulakan 'Istiadat Mengelilingi Balai Panca Persada' sebanyak tujuh kali dan dibantu oleh Bomoh dan Pawang Tempatan dan Bentara-Bentara yang membawa 'Perkakas Merenjis'. Sepanjang keberangkatan Baginda NOBAT dipalu sehingga Baginda bersemayam diatas 'Perterakna Seri Panca Persada'.

Semua Putera dan Puteri baginda akan mengambil tempat di belakang Perterakna serta diringi oleh Y.Bhg.Orang Kaya-Kaya Panglima Kinta Seri Amar DiRaja, Y.Bhg. Orang Kaya-Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar DiRaja dan Y.Bhg.Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan. Istiadat 'Merenjis Tepung Tawar' disempurnakan diikuti dengan bacaan Doa Selamat oleh Sahibul Samahan Mufti Kerajaan Negeri Perak.

Selepas itu 'Upacara Bersiram Tabal' (Mandi Sampat) pula dimulakan oleh Pawang DiRaja sendiri dari awal hingga akhir keatas Perkakas Istiadat Bersiram Tabal. Kain putih direntangkan dan daun nyiur muda bentuk jari lipan ditaruhkan keatas kain putih yang diregang dan dipegang oleh Toh-Toh Puan ditiap-tiap penjuru. Istiadat Bersiram Tabal dimulakan dengan mengambil sebatil GELUK berisi Air Datu dan dicurahkan keatas kain putih sehingga habis Enam Belas Batil GELUK yang berisi air. NOBAT dipalukan sepanjang Istiadat Bersiram Tabal. Setelah selesai Istiadat Bersiram Tabal, Baginda berdua akan menyalin pakaian dan berangkat turun dari Seri Panca Persada berselimut dengan 'Kain Benang Emas Kekuningan', dan diarak balik ke ISTANA.

Setelah menukar kepada Pakaian Kebesaran DiRaja, DYMM Paduka Seri Sultan Perak akan berangkat masuk ke BALAIRONG SERI (NOBAT dipalu) dan bersemayam diatas PETERAKNA SINGGAHSANA. Pawang DiRaja memulakan 'Istiadat Merenjis Air Panca Bicara' keatas PERKAKAS KERAJAAN yang sedia ada terletak diatas meja dihadapan Singgahsana, 'Merenjis Tepung Tawar' keatasa Baginda Sultan dan diikuti dengan meletakkan 'BUNGA PENCAWA PENCARA' ditelinga Baginda

Pada waktu istiadat ini NOBAT DIRAJA akan memainkan lagu diantara empat hingga sembilan lagu. Toh Setia Guna (Ketua Nobat) akan memerhatikan gerak geri Paduka Seri Sultan ketika paluan NOBAT dipalukan. Dari sini, kedaulatan seseorang Sultan itu akan dapat diketahui. Mengikut adat, sekiranya Baginda dapat bertahan lama diatas Singgahsana (iaitu dapat bertahan sehingga tujuh lagu keatas dipalukan oleh NOBAT) ini menunjukkan pertabalan Baginda telah direstui oleh JIN-JIN KERAJAAN dan Baginda akan memerintah Negeri Perak ini lama atau pun panjang umur. Akan tetapi sekiranya Baginda hanya dapat bertahan empat atau lima lagu sahaja...petandanya umur Baginda mungkin pendek. Toh Setia Guna akan memberi isyarat kepada Ahli Nobat supaya memberhentikan paluan NOBAT apabila melihat Baginda Sultan dalam keadaan 'resah gelisah' diatas Peterakna Singgahsana.

Sewaktu NOBAT dipalukan, PEDANG CURA SIMANJA KINI akan 'bergerak-gerak' dengan sendirinya (dimana seakan-akan hendak keluar dari sarungnya). Ini menunjukkan JIN KERAJAAN berserta dalam ISTIADAT TABAL JIN ini dan pertabalan Baginda Direstui. Istiadat TABAL JIN selamat disempurnakan selepas upacara 'SANTAPAN NASI BERAS TANOKA' dijalankan dengan bacaan doa selamat.

(Peringatan : Ada pun upacara 'Istiadat Tabal Jin' ini hendaklah disempurnakan mengikut Adat Istiadat Pertabalan yang asalnya....ia itu mengikut cara yang dilakukan dari turun temurun tanpa menukarkan ciri-ciri adat yang asal.... barulah sempurna dan dapat di ketahui sama ada direstui oleh JIN KERAJAAN Perak yang akan mendampingi Baginda. Kalau tidak Istiadat Upacara tersebut hanya lah merupakan suatu Istiadat Biasa sahaja.... tiada berkeraajan....)

 Tabal Adat
Istiadat Tabal Adat adalah upacara pertabalan rasmi di mana Raja Pemerintah baru akan ditabal secara rasmi mengikut adat resam yang turun-menurun dan dengan penuh gilang-gemilang. Istiadat ini dilangsungkan di dalam Balairong Seri, Istana Iskandariah dengan keberangkatan hadir wakil-wakil Sultan dan Raja Pemerintah Negeri yang lain dari Semenanjung Malaysia serta Negara Brunei Darussalam. Juga diundang hadir adalah Menteri Besar, orang besar-besar, wakil rakyat dan orang kenamaan. Perkakas-perkakas Kerajaan termasuk senaskah kitab Al-Quran akan dibawa masuk ke dalam Balairong Seri. Pedang Cura Si Manja Kini, iaitu pedang Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, akan dipersembahkan kepada Raja Pemerintah baru. Ketua bentara, Toh Seri Nara Diraja, turut mempersembahkan Mastika Embun serta menyunting Cap Halilintar pada telinga kanan Paduka Seri Sultan baru sambil membisik Ciri yang dikenali sebagai 'Rahsia Nisab Sultan I' kepada Paduka Seri Sultan itu. Selepas itu, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja membaca Perisytiharan Pemasyhuran Pertabalan Paduka Seri Sultan.

Nobat memainkan lagu 'Nobat Tabal'. Susulan daripada itu, Paduka Seri Sultan perkenan memasyhurkan penganugerahan gelaran 'Raja Perempuan' kepada isteri baginda sekiranya berketurunan Raja ataupun gelaran 'Raja Permaisuri' sekiranya berketurunan orang kebanyakan. Bunga pencawa pancara disemat oleh Paduka Seri Sultan pada ulu sebelah kanan isteri baginda. Perisytiharan Pemasyhuran Raja Perempuan juga dibaca oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja. Pakaian bagi istiadat ini adalah lengkap dengan bertengkolok. Bintang-bintang dan pingat-pingat kurniaan juga dipakai bersama.

Tabal Pusaka
Istiadat Tabal Pusaka mengandungi beberapa istiadat kecil termasuk Istiadat Memasak Tiang Seri Panca Persada, Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal Di Tujuh Kuala Sungai Perak, Istiadat Pemulihan Perkakas-perkakas Kerajaan, Istiadat Bersiram Tabal dan Istiadat Menyantap Nasi Berastakona.

Istiadat Memasak Tiang Seri Panca Persada
Istiadat Memasak Tiang Seri Panca Persada merupakan adat yang dijalankan sebelum tiang utama Panca Persada daripada kayu khas bernama 'Sungkai' dipasakkan. Pada zaman dahulu, Panca Persada dibangunkan di pertengahan Sungai Perak, akan tetapi sekarang ianya didirikan di pekarangan Istana Iskandariah. Berbentuk empat persegi setinggi 9 atau 11 tingkat, ianya dikisar sekelilingnya dengan tangga. Di kemuncaknya terletaknya tempat bersemayam Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan yang berbumbung. Siling dan tiang dibalut dengan kain kuning. Di sekiling tingkat digantung dengan daun budi dan tingkat kemuncak diulas dengan kain keemasan.

Lazimnya, istiadat ini cuma dihadiri oleh orang besar-besar, pawang-pawang, panglima-panglima dan bentara-bentara sahaja.
Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal Di Tujuh Kuala Sungai Perak
Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal Di Tujuh Kuala Sungai Perak juga merupakan salah satu adat yang unik. Istiadat ini dimulakan dengan perarakan berkereta yang memuatkan pasukan Nobat Diraja, panglima-panglima, Toh Seri Nara Diraja dan Raja Cik Muda bersama-sama dengan tujuh orang bomoh yang lain, bentara-bentara yang membawa perkakas istiadat, dan enam belas jejawat berlembing dari Istana Iskandariah hingga ke tebing Sungai Perak. Nobat akan dipalukan sepanjang istiadat ini. Di tebing sungai, perkakas istiadat dibawa naik ke atas bot.

Raja Cik Muda, Toh Seri Nara Diraja dan bentara-bentara menaiki bot serta bermula mengambil air dari kuala Sungai Kangsar. Rombongan bergerak ke kuala-kuala sungai lain, iaitu Sungai Chepias, Sungai Sayong, Sungai Hitam, Sungai Chermin, Sungai Bunya dan Sungai Menora, untuk mengambil air serta dimasukkan ke dalam geluk.

Istiadat Tabal Pusaka
Istiadat Tabal Pusaka, yang dahulunya dikenali sebagai Istiadat Tabal Jin, berlangsung di dalam Balairong Seri dan di Panca Persada. Istiadat ini disempurnakan pada waktu malam dan disaksikan oleh kerabat-kerabat diraja rapat, orang besar-besar serta pemimpin-pemimpin negeri. Pakaian majlis ini adlah baju Melayu hitam, bertengkolok hitam dan bersamping kain benang emas tetapi tidak memakai bintang-bintang kurniaan. Istiadat ini bermula di Balairong Seri, dan para undangan dipandu ke tempat duduk di Balairong Seri. Istiadat dimulakan dengan paluan nobat. Antara perkakas kerajaan yang dibawa masuk ke dalam Balairong Seri ialah pedang 'Cura Si Manja Kini', Pontoh Bernaga dan Pontoh Ular Lidi yang dipersembahkan kepada Sultan. Istiadat ini diikuti dengan Istiadat Memulih Perkakas Kerajaan dan Perkakas Nobat, dan selepas itu, Istiadat Bersiram Tabal disempurnakan di atas Panca Persada di pekarangan istana. Apabila Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan berangkat tiba di kawasan Panca Persada, Raja Cik Muda akan memulakan Istiadat Mengelilingi Balai Panca Persada sebanyak tujuh kali bersama-sama dengan para bomoh dan bentara yang membawa perkakas merenjis. Baginda Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan menaiki Panca Persada, diiringi oleh Raja Muda dan Raja Di Hilir serta isteri mereka, dan diikuti oleh orang besar-besar serta isteri.

Sebaik sahaja Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan selamat bersemayam di atas kemuncak Panca Persada, Raja Cik Muda memulakan Istiadat Bersiram Tabal. Air siram adalah air daripada tujuh kuala Sungai Perak yang telah dibekaskan pada Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal dua atau tiga hari terlebih dahulu. Selesai sudah istiadat ini, baginda berdua berangkat turun dari Panca Persada berselimut dengan kain benang emas serta dipandu berangkat balik ke istana diringi dengan paluan nobat. Setelah menyalinkan pakaian, Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan berangkat masuk ke dalam Balairong Seri semula, dan bersemayam di atas petarakna singgahsana. Istiadat Merenjis Air Panca Bicara dilangsungkan, dan setelah selesai istiadat itu diikuti pula Istiadat Santapan Nasi Berastakona.

Sumber http://deathnota.blogspot.com/

0 Response to "Istiadat Tabal Jin Kesultanan Perak"

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.