MH17 : Anak Bongsu Pitam Lihat Jenazah Ayah Dikebumikan

Menerusi portal www.suara.tv menceritakan keadaan semasa pengebumian Mohd Ghafar Abu Bakar penyelia penerbangan kabin Malaysia Airlines (MAS)

Suasana sungguh pilu apabila anak bongsu penyelia penerbangan kabin Malaysia Airlines (MAS) Mohd Ghafar Abu Bakar, pitam ketika jenazah ayahnya dikebumikan hari ini.

Afi Hazim, 14, yang juga orang kurang upaya (OKU) terpaksa dipapah keluar oleh anggota keluarganya ke ambulans yang disediakan bagi menstabilkan keadaannya.

Jenazah Allahyarham Mohd Ghafar,54, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Ampang Satu, Taman Kosas di sini. Allahyarham meninggalkan seorang isteri Normi Abdullah, 54, dan tiga anak – Sa’imah Baizura, 29, Ammar Syarif dan Afi Hazim.

Sementara itu, rakan dan juga jiran Allahyarham, Mohamed Subri Mat Zin, 50, berkata, rakannya itu sering menyatakan hasrat untuk berhenti dan mencari pekerjaan lain.

“Arwah selalu menyatakan bahawa dia nak berhenti kerja dan mahu mencari pekerjaan lain sebab mahu menumpukan perhatian kepada keluarga dan mendalami ilmu agama,” katanya kepada Bernama.

Seorang lagi rakan Allahyarham, Ferri Anugerah Makmur, 52, berkata Allahyarham semasa hayatnya cukup mementingkan agama dalam segala hal dan disifatkan seorang yang layak dijadikan contoh kepada masyarakat.

“Arwah Ghafar merupakan lambang kedamaian dunia kerana sepanjang hayatnya, beliau merupakan seorang ayah, suami, sahabat, anak dan rakyat Malaysia yang baik budinya dan luhur hatinya.

“Beliau cukup taat dengan agama Islam dan dirinya sentiasa berada dalam keadaan wuduk (air sembahyang),” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengebumian jenazah Allahyarham Mohd Ghafar selesai.

Rakan sekerja Allahyarham, Syed Hamzah Syed Hussein, 50, pula melahirkan rasa terkilan kerana pernah menolak pelwaan Allahyarham untuk menunaikan solat terawih bersama-sama.

“Pada 16 Julai lalu, semasa kami di Kuala Lumpur sebelum masing-masing berlepas ke London dan Amsterdam, Allahyarham ada mengajak saya untuk menunaikan solat terawih bersama.

“Namun saya menolak kerana takut (terlepas penerbangan) dan saya rasa sungguh sedih kerana tidak menunaikan hasratnya itu,” katanya.

Kata Syed Hamzah, Allahyarham sempat mengirimkan WhatsApp ucapan ‘Selamat Hari Raya’ dengan gambar songkok.

Antara yang hadir pada upacara pengebumian Allahyarham ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

Lebih 1,000 orang termasuk anggota keluarga dan kakitangan MAS hadir memberikan penghormatan terakhir dan menyiram air ke pusara Allahyarham.

Pengebumian selesai pada 12.10 tengah hari dan talkin dibacakan oleh Imam Besar Masjid Negeri Shah Alam, Mohd Hata Ahmad.

Penerbangan komersial MH19 yang membawa kumpulan kedua terdiri tiga jenazah mangsa nahas MH17 termasuk Mohd Ghafar dari Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 6.45 pagi tadi.

Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas pada 17 Julai lalu, selepas ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine. 

Sumber www.suara.tv/

1 Response to "MH17 : Anak Bongsu Pitam Lihat Jenazah Ayah Dikebumikan"

  1. Budak sekolah sekarang memang macam-macam hal. Entah kenapa budak sekolah zaman sekarang ni macam tak sabar-sabar nak kawin. Dah la macam tu, tak malu pula buat aksi-aksi macam laki bini dekat kawasan terang. Tengok gambar ni --> www.my-mediahub.com.my/gambar-budak-sekolah-bercengkerama.html

    ReplyDelete

Note: only a member of this blog may post a comment.