Set Penggambaran "Rumah Pusaka Di Simpang Jalan" Kawasan Keras

Kata Mamat Khalid, set penggambarannya didatangi pelbagai bentuk gangguan makhluk halus ketika berada di lokasi sebuah banglo lama terletak di satu kawasan di Batu Gajah, Perak.

Tambahnya, lokasi utama yang dipilihnya itu memang kawasan keras tetapi mempunyai tarikan apabila terdapat beberapa banglo lama sekaligus kawasan itu difikirkan sesuai dengan jalan cerita filemnya kali ini.

Bagaimanapun, kisah seram kawasan itu tidak dimaklumkan kepada pelakon sehingga ia didedahkan Mamat pada sidang media pratonton filem itu di Kuala Lumpur, malam tadi.

"Pada mulanya penggambaran mahu dijalankan di kawasan lain tetapi apabila pihak Majlis Daerah telah memberi kelulusan, jadi kawasan tersebut lebih sesuai.

"Sewaktu penggambaran, memang ada macam-macam gangguan mahkluk halus. Lagipun tempat itu memang keras tetapi pelakon dan kru tidak diberitahu.

"Hanya saya dan pengarah fotografi (DOP) saja yang menyedari hal itu. Misalnya, ada satu ketika DOP saya ternampak kelibat saya padahal itu sebenarnya bukan saya," katanya kepada Malaysian Digest.


Mengenai karyanya kali ini, Mamat menyatakan pada mulanya naskah komedi seram ini sekadar mahu dihasilkan dalam bentuk telefilem.

Namun, hasratnya itu disambut baik produksi Ariabella Sdn Bhd yang mahu membawa karya ini ke layar perak dan filem ini juga menjadi kerjasama dengan produksi miliknya, Enjit Semut Sdn Bhd.

Tambahnya, idea menghasilkan filem yang membelanjakan kos sebanyak RM1.2 juta itu tercetus berdasarkan sebuah filem genre seram klasik dan seram Inggeris kegemarannya. Kedua-dua elemen dalam filem berkenaan digabungkan sehingga terhasil jalan cerita Rumah Pusaka Di Simpang Jalan.

"Dulu saya suka menonton filem Melayu klasik berjudul Pusaka Pontianak dan sebuah filem Inggeris Murder By Death. Saya gabungkan dua karya ini dan mengambil kira citarasa penonton hari ini dengan menggarapkan komedi seramnya dan saya selitkan elemen rasa ingin tahu yang timbul dalam diri penonton ketika menonton, maka terhasillah Rumah Pusaka di Simpang Jalan.



"Pusaka itu bermaksud saka dan dalam kalangan kita, ramai yang tahu mengenai saka Melayu termasuk kenapa kita perlu buang saka ataupun akibat jika seseorang ittu membela saka.

"Sebelum memulakan penggambaran, saya membuat kajian dan banyak mendengar cerita saka daripada keluarga saya serta orang sekeliling saya," kata Pengarah Terbaik FFM21 ini lagi.

Filem Rumah Pusaka Di Simpang Jalan bakal menemui penonton bermula 1 Januari 2015, filem itu juga dibarisi ramai pelakon berpengalaman antaranya Bell Ngasri, Pekin Ibrahim, Jihan Muse dan Syuk Balsm.

Plot mengisahkan beberapa orang luar dijemput ke sebuah rumah pusaka untuk menerima harta peninggalan. Namun, untuk mendapatkan harta tersebut mereka perlu menjalani ujian yang telah ditetapkan.


0 Response to "Set Penggambaran "Rumah Pusaka Di Simpang Jalan" Kawasan Keras"

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.