Kegagalan Bertahan 90 Minit Perlawanan

KUALA LUMPUR – Kegagalan pemain untuk bertahan sepanjang 90 minit perlawanan menjadi punca skuad Harimau Malaya gagal meraih kejuaraan Piala AFF Suzuki 2014 yang melabuhkan tirainya di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu malam, kata Ketua Jurulatihnya Dollah Salleh.

Thailand kalah 2-3 kepada Malaysia pada aksi timbal balik di sini namun muncul juara susulan kemenangan 2-0 pada aksi final pertama di Stadium Nasional Rajamangala, Rabu lepas untuk muncul juara dengan keputusan agregat 4-3.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, pemain hanya mampu bertahan selama 70 minit dan kemudian hilang punca sehingga menyebabkan Thailand mengambil kesempatan,”katanya kepada pemberita selepas aksi final kedua.

Dollah menjelaskan, keputusan mengeluarkan pemain sayap, Indra Putra Mahayuddin dan pemain pertahanan, Mohd Afif Amiruddin yang memainkan peranan besar pada perlawanan itu ekoran masalah kecederaan, turut menjadi punca kepada kekalahan itu.

Dalam pada itu, beliau berpuashati dengan pencapaian yang diraih oleh skuad kebangsaan walaupun hanya diberi tempoh singkat untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi kejohanan bola sepak dwitahunan itu.

“Saya hanya dapat membuat persediaan lebih kurang sebulan dan kejayaan mengalahkan Thailand merupakan satu bonus bagi saya. Sekiranya diberi masa yang lebih panjang, saya mampu buat persediaan lebih rapi,” jelas pengendali kelahiran Melaka itu.

Berkongsi pandangan yang sama adalah penyerang, Mohd Amri Yahyah yang berpuashati dengan kemenangan malam ini walaupun gagal meraih kejuaraan buat kali kedua selepas 2010 di bawah kendalian bekas jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal.

“Saya bersyukur kita dapat beraksi di final walaupun persiapan pasukan agak singkat. Semua pemain beri komitmen tinggi dalam setiap perlawanan,” kata pemain kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Thailand Kiatisuk Senamuang gembira kerana pasukan Thailand meraih kejohanan keempat bola sepak Asean selepas tiga edisi Piala Tiger sebelum ini pada tahun 1996, 2000 dan 2002.

Beliau adalah antara pemain Thailand yang menumpaskan Malaysia pada perlawanan akhir Piala Tiger di Singapura pada tahun 1996 dan pada malam ini beliau mengecapinya sebagai seorang jurulatih.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat dan pemain (untuk kemenangan ini).

Sebelum kami datang ke sini, kami membawa kelebihan dua gol tetapi setelah ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama, saya berasa kelainan bermain di hadapan lebih daripada 90,000 penyokong.

Semasa rehat, saya memberitahu pemain saya untuk bangkit kembali dan mereka berjaya. Saya bangga dengan semua pemain kerana tidak berputus asa, kata Kiatisuk. – BERNAMA

0 Response to "Kegagalan Bertahan 90 Minit Perlawanan"

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.