Kes Pecah Cermin Tidak Puas Hati Cara Pemanduan Jabatan Kesihatan

KUALA LUMPUR - Seorang jurulatih kecergasan ditahan kerana bertindak samseng jalan raya selepas memecahkan cermin dan mengugut kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, di Lebuhraya SILK, berhampiran Jalan Reko, Kajang, kelmarin.

Kejadian itu mendapat perhatian ramai serta pelbagai komen di laman sosial Facebook selepas tindakan lelaki berusia 26 tahun yang memandu kereta Perodua Myvi berwarna merah jambu, dirakam kakitangan pejabat kesihatan yang berada dalam kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux, dan tersebar sejak pagi semalam.

MENYERAH DIRI

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata lelaki yang memandu kereta milik tunangnya ditahan pada jam 5.30 petang semalam selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, bagi membantu siasatan berhubung laporan polis dibuat oleh kakitangan pejabat kesihatan berkenaan.

Berdasarkan laporan diterima, lelaki terbabit dikatakan tidak berpuas hati dengan cara pemanduan kakitangan pejabat kesihatan sebelum bertindak menghalang dan menahannya di tepi lebuhraya berkenaan.

“Dia kemudian keluar dari kereta dengan membawa pengunci stereng sebelum dilihat memarahi dan mengugut pemandu supaya keluar dari kereta (milik) kerajaan itu, namun sebaliknya pemandu dan penumpang mengunci pintu dan merakam tindakan lelaki berkenaan,” katanya. - BERNAMA

0 Response to "Kes Pecah Cermin Tidak Puas Hati Cara Pemanduan Jabatan Kesihatan"

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.