Hampir Maut Dihanyut Arus Deras

kami berasa sedih melihat inbox di penmerah. Bertalu - talu kiriman daripada likers penmerah yang kami terima "yang minta tolong bekalan makanan tidak sampai, yg terputus hubungan, dewan bergoyang kerana arus deras..elektrik terputus., bantuan belum tiba. Betapa sukarnya keadaan yang harus dilalui lebih penduduk di beberapa negeri akibat banjir teruk yang melanda kini

Kami terbaca di salah satu artikle daripada mynewshub "Seorang mangsa di Kelantan, Wan Yusof Wan Jeffery telah berkongsi detik cemasnya ketika dihanyutkan air sewaktu meredah banjir menerusi akaun Facebooknya, beberapa hari lalu."

Menurutnya sewaktu dihanyutkan air sewaktu dalam perjalanan nak ke kedai di bandar Rantau Panjang

"Sudah hampir 500 meter kami berjalan. Saya berada paling hadapan. Arus agak deras tapi masih boleh diharungi.
Dari jauh saya nampak seorang pakcik sedang berjalan dari arah bertentangan.
“Hmm..boleh maju lagi ni” kata saya dalam hati.
Saya terus melangkah perlahan.
Kali ini arus semakin terasa kencang. Kaki sedikit goyah. Saya merendahkan diri untuk menstabilkan pusat graviti.
“Air kuat lagi ke kat depan ni” saya bertanya kepada pakcik tadi. Kini kami berselisih.
“Air sini jah kuat…depan tu ok je” balas Pakcik itu.

Saya melihat ke depan. Hanya 20 meter sahaja lagi untuk sampai ke tempat yang arus perlahan. Saya menguatkan semangat.
Tapi kaki terasa sedikit goyah. Rasa ingin rebah. Saya memperbetulkan niat. Saya ingin membantu ayah saya. Kalau apa-apa terjadi insyaAllah niat saya betul.
“Undur…jangan datang sini..arus kuat” laung saya pada adik saya.
Saya cuba melangkah dan kali ini…..
“Tolong…tolong!!”
Saya tergelincir. Saya hanyut di bawa arus.

Tiba-tiba saya terasa ditarik masuk ke dalam lubang. Saya sempat berpaut pada birai lubang berkenaan. Cuba bertahan.
Tarikan makin kuat. Saya semakin lemah. Akhirnya saya biarkan diri saya disedut masuk.
Kini semuanya gelap gelita. Saya tenggelam dalam air.
“Rupanya beginilah saat kematian” saya memberitahu diri sendiri.
Saat itu saya menyediakan diri saya untuk mati. Saya mengucap dua kalimah syahadah. 

“Manusia boleh terapung di atas air”
Entah macam mana saya teringat pernyataan itu. Pelajaran yang dipelajari semasa sekolah rendah. Ketumpatan manusia sepatutnya membenarkan manusia terapung di permukaan air.
Saya cuba untuk terapung.
Saya cuba fokus.
Alhamdulillah saya terapung. Segera saya cuba bernafas. Menyedut udara segar.
Tapi tidak lama. Saya kembali tenggelam.
Saya cuba lagi untuk terapung.
Alhamdulillah berjaya terapung.
Bang!
Kepala saya terhantuk sesuatu. Saya tidak hiraukan sangat. Lagipun keadaan sekeliling memang gelap gelita. Saya hanya membiarkan arus membawa saya sambil terus cuba mengapungkan diri.
“Eh cerah..” detik saya dalam hati.
Saya membuka mata. Tidak nampak jelas apa yang berlaku di sekeliling. Yang pasti saya bukan berada di tempat tadi.
Samar-samar kelihatan seperti ada pokok di hadapan. Saya mengangkat tangan cuba berpaut pada dahan.
Alhamdulillah pautan mengena. Saya menarik diri rapat ke batang pokok, cuba untuk memanjat ke atas dahan.
Ya Allah tak larat…
Badan saya sangat lemah.
“Rileks…fokus..ada sikit lagi tenaga yang belum digunakan” saya memberikan kata peransang kepada diri sendiri.
“Abang Yus…”
“Abang Yus…”
Saya dengar nama saya dipanggil. Tetapi saya biarkan dahulu panggilan itu tidak terjawab. Saya cuba memfokuskan diri untuk memanjat pokok. Jika tidak, saya akan dihanyutkan air.

Kiraan 1, 2, 3
Hiyaaaakk… (saya mengangkat badan)
Alhamdulillah berjaya. Segera saya berpaut pada dahan-dahan di atas. Mencari dahan yang paling kuat untuk saya duduk berlindung.
Alhamdulillah saya selamat.
“Ada orang ke tu…” saya dengar suara memanggil.
“Sini..sini” saya membalas.
Samar-samar kelihatan ada dua kelibat sedang berenang ke arah saya.
“Abang ok ke?”
“Ok..cuma penat sikit”
“Aku pergi panggil bomba, kamu tinggal sini” beritahu salah seorang pemuda kepada kawannya.
Saya terus memeluk dahan pokok. Memang terasa sangat lemah. Saya cuba meletakkan diri di tempat paling bercabang dengan harapan sekiranya saya terjatuh saya akan tergantung pada dahan-dahan yang berbaki.
“Bomba on the way dah ni…” satu jeritan dari luar kedengaran.
“Alhamdulillah” detik saya dalam hati.
30 minit berlalu…
60 minit berlalu…
90 minit berlalu…
“Mana bomba ni..kata dah on the way…” pemuda yang dikenali dengan nama Mi tadi bertanya.
“Entahlah..” balas saya.
“Kamu boleh tinggal sini? Saya pergi depan sekejap” Mi bertanya.
“Ok..boleh” jawab saya ringkas.
Mi lantas terjun dan cuba berenang ke depan. Tiba-tiba dia kembali berpaut pada dahan pokok.
“Tak boleh pergi depan..arus kuat sangat…kalau lawan 5 minit sahaja boleh tahan” beritahu Mi.
Kami terus menanti Bomba tiba. Sekali sekala terdengar bunyi bot menghampiri tapi tunggu punya tunggu tidak kunjung tiba.

Saya sudah kembali bertenaga. Namun untuk berenang tidak sama sekali. Saya melihat tangan saya. Ada sedikit calar. Kepala masih terasa pening akibat hantukan tadi.
“Saya pergi ke sana sekejap..ada rumah orang” Mi memberitahu.
Dia terus melompat ke dalam air banjir dan berenang menuju ke arah rumah itu. Saya hanya memerhatikan dari atas pokok.
Kini saya berseorangan. Fikiran saya terkenangkan peristiwa tadi. Memang saya tidak sangka masih berpeluang untuk hidup lagi. Kuasa Allah yang maha tinggi.
“Pastinya ada sebab dan tujuan mengapa Allah membenarkan saya masih hidup…”
Saya bermuhasabah seorang diri sambil terus menanti.
Dari jauh kelihatan semacam ada sebuah sampan sedang menuju ke arah saya. Saya tidak kenal pendayung sampan berkenaan. Tapi itu sudah tidak penting bagi saya.
Saya segera turun untuk menaiki sampan. Saya dibawa ke rumah yang terletak bedekatan dengan tempat saya berlindung.

Nama pakcik yang menyelamatkan saya adalah Pakcik Roni. Pakcik Roni sekeluarga tidak sempat berpindah. Mereka tidak menjangka air akan naik secepat ini. Menurut Pakcik Roni, sejak rumah dia dibina 4 tahun lepas, belum pernah air melepasi naik melepasi anak tangga rumah beliau. Rumahnya sudah dibina 10 kaki tinggi dari daratan. Dan hari ini, hanya tinggal sejengkal sahaja lagi untuk air masuk ke dalam rumah beliau.

“Ambil baju beri pada Abang ni..” beritahu Pakcik Roni kepada anaknya.
Saya dapat lihat Mi juga sudah berada di rimah Pakcik Roni. Rupanya Mi berenang ke rumah Pakcik Roni dan memberitahu cerita saya.
Kami diberi makan dan diminta berehat.
Pakcik Roni tidak mempunyai telefon. Cuma kebetulannya ada cucu beliau yang tumpang bermalam di rumah beliau membawa telefon bersama. Saya meminjam telefon cucu beliau untuk memberitahu keluarga yang saya selamat dan kini sedang menanti pasukan Bomba.



Jam 1830
“Bomba sampai dah ni..tunggu sekejap”
Kami mempersiapkan diri untuk berpindah. Keluarga Pakcik Roni juga akan dipindahkan kerana situasi air masih lagi tidak menentu. Ditambah lagi dengan bekalan elektrik yang sudah terputus sejak semalam.

Alhamdulillah jam 1900 akhirnya saya berada di daratan. Ayah dan adik saya sudah menunggu. 
Banjir 2014 ini adalah antara yang terburuk dalam sejarah Kelantan. Meskipun Rantau Panjang adalah satu kawasan yang sering dinaiki air, tetapi kenaikan air kali ini adalah diluar jangka. tulisWan Yusof dalam catatannya.


Kami dari pihak PenMerah [dot] com ingin meminta cadangan dan pandangan dari anda semua..

sekiranya kami lancarkan tabung kecemasan untuk bantu saudara kita yang sedang mengalami kesulitan ekoran dari banjir besar yang sedang melanda pantai timur..

Insha Allah jika dapat respon positif dan ramai yang ingin membantu kami akan berikan maklumat lanjut..mungkin bantuan dari segi kewangan dan selepas itu kami akan beli perlatan asas bantuan kepada mangsa banjir..contohnya cadar/selimut,tuala wanita,pampers dan lain-lain..

Insha Allah..kami akan jaga amanah dari anda dan akan sentiasa update berapa kutipan dana yang diperolehi dari masa ke masa..Boleh inbox kami di Penmerah 

0 Response to "Hampir Maut Dihanyut Arus Deras"

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.