Keluarga Bayi Hilang Dihanyut Arus Deras

KUALA KRAI – Sudah lebih seminggu Kampung Pertang di sini dilanda banjir lumpur, namun, bagi keluarga bayi malang yang dihanyutkan air deras Nor Adriana Adila Asrol Afendi, peristiwa itu masih meninggalkan kesan trauma dalam diri mereka.

Bayi berumur setahun sembilan bulan itu terlepas daripada pegangan ibunya Suhana Abdul Ghani, 34, apabila bumbung tempat mereka berlindung runtuh ekoran kederasan air yang melimpah dan sehingga hari ini, masih belum dijumpai.

Menceritakan kembali detik mencemaskan itu, datuk bayi berkenaan Abdul Ghani Sulaiman, 63, berkata, hujan mula lebat pada petang 17 Dis dan beliau mengarahkan isterinya Faridah Salleh, Suhana serta anak-anaknya untuk panjat ke bumbung kerana air naik begitu pantas.

“Hari tu, pukul 4.30 petang, hujan mula turun mencurah-curah, pak cik tengah nak ambil kereta bawak naik atas bukit. Masa tu angin kuat pakcik oyak (beritahu) cucu-cucu naik atas siling.

“Semasa sedang kesejukan menunggu bantuan, tiba-tiba bumbung tempat Suhana berpaut tadi runtuh apabila dihempas arus deras. Dia terlepas anaknya bila bumbung tempat mereka berpaut jatuh. Isteri pakcik terjun untuk tarik Suhana tetapi tidak boleh buat apa-apa bila anak Suhana hanyut,” katanya kepada Bernama sambil mengelapkan air mata.

Media sebelum ini melaporkan Nor Adriana Adila dikhuatiri mati lemas sewaktu banjir melanda Rabu lepas dan sehingga kini jasadnya masih gagal dikesan walaupun operasi mencari telah dilakukan secara besar-besaran.

Tinjauan Bernama di sekitar kampung Ladang Kelapa Sawit Kuala Pertang itu mendapati, terdapat kesan deretan pokok kelapa sawit tumbang sepanjang 500 meter, dipercayai akibat dilanggar kepala air sewaktu banjir lumpur melanda kampung itu.

Bencana itu turut merosakkan hampir 50 rumah serta masjid, di samping jalan tar terkopak dalam kepingan besar di sepanjang jalan masuk ke kampung itu akibat kederasan air.

Abdul Ghani berkata, beliau juga hampir lemas ketika sedang berpaut pada serpihan bumbung yang masih tinggal, disebabkan arus sangat luar biasa.

“Namun, keluarga pakcik, terutama Suhana hanya mampu berserah kepada takdir. Kami sekeluarga dah pun buat solat jenazah ghaib selepas hari kedua kehilangan cucu pakcik,” katanya lagi.

Abdul Ghani berkata, Suhana kini sedang berada di Hospital Kuala Krai menjaga seorang lagi anak perempuannya yang patah tangan ketika berpaut di bumbung sewaktu hari kejadian.

Isterinya Faridah pula berkata, oleh kerana sebahagian bumbung tempat mereka berpaut runtuh, dirinya terpaksa berendam dalam air lebih lapan jam manakala dua cucunya terpaksa berpaut pada pokok berhampiran, sebelum diselamatkan.

Banjir yang melanda beberapa negeri kini merupakan yang terburuk dalam sejarah negara apabila mencatat jumlah mangsa banjir terbanyak iaitu melebihi 100,000 mangsa yang kini sedang mendapatkan perlindungan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Kelantan merupakan antara negeri yang teruk terjejas banjir dengan jumlah mangsa melebihi 32,000 orang.

Kawasan yang paling teruk terjejas banjir di Kelantan ialah jajahan Kuala Krai, Pasir Mas, Gua Musang dan Kota Baharu. – BERNAMA

0 Response to "Keluarga Bayi Hilang Dihanyut Arus Deras"

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.