Kejam!! Bayi Ditanam Hidup-Hidup Selepas Ibunya Dibunuh

SERDANG – Polis menemui mayat bayi lelaki cukup sifat dipercayai ditanam hidup-hidup di dalam lubang tidak jauh dari lokasi mayat ibunya ditemui polis, Isnin lalu.

Mayat bayi itu ditemui kira-kira jam 11 pagi, semalam berhampiran ladang kelapa sawit di Kampung Gumut Tambahan, Kuala Kubu Bharu di sini, selepas polis membawa suspek lelaki dipercayai ada kaitan dengan kematian kedua-dua mangsa.

Suspek lelaki warga Indonesia itu disyaki teman lelaki mangsa dibunuh dibawa ke lokasi kejadian bagi melihat kerja menggali kubur bayi itu.

Dalam kejadian jam 5 petang Isnin lalu, polis menemui mayat wanita mengandung warga Indonesia ditanam sedalam satu meter sebaik menerima laporan anak saudara mangsa yang mengetahui perkara itu daripada rakannya.

Ketua Polis Selangor Datuk Abu Samah Mat berkata, suspek berusia 42 ditahan di rumahnya berhampiran rumah mangsa petang kelmarin, selepas penemuan kubur wanita berusia 39 tahun di dalam ladang sawit yang ditutupi daun dan tikar.

Bagaimanapun polis masih mencari seorang rakan suspek utama berusia 30-an dipercayai bertanggungjawab menanam kedua-dua mayat mangsa itu.

“Suspek kedua berusia 30-an masih bebas.

“Suspek direman hingga 25 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 314 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan keguguran dengan niat menyembunyikan kelahiran,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Kejohanan Bola Jaring Piala ketua polis Selangor di Kompleks Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasatan ke atas kedua-dua mayat itu yang dilakukan di Bahagian Forensik Hospital Sungai Buloh bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya. 

Sumber www.tv14.my

0 Response to "Kejam!! Bayi Ditanam Hidup-Hidup Selepas Ibunya Dibunuh"

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.