‘PELAKON’ DICEKUP LEKA LAYAN GRO

Melaka: Seorang ‘pelakon’ yang leka melayan pelanggan di sebuah pusat hiburan gagal melarikan diri selepas premis tempatnya bekerja di Bandar Hilir, di sini, diserbu imigresen, semalam.

Dalam serbuan pada jam 1 pagi itu, wanita itu ditahan selepas pemeriksaan mendapati dia memasuki ke Malaysia menggunakan pas pekerja sebagai pelakon sebuah drama bersiri disyaki menjadi pelayan pelanggan (GRO) di premis terbabit.

Dalam operasi khas itu, turut ditahan 15 wanita warga asing disyaki GRO dan dua lelaki tempatan berusia 32 dan 46 tahun dipercayai majikan serta penjaga di pusat hiburan berkenaan.

Difahamkan, pusat hiburan yang beroperasi di bahagian tempat letak kereta bawah tanah bangunan kedai itu dikategorikan sebagai ‘lokasi kebal’ selepas beberapa serbuan imigresen sebelum ini gagal kerana dijaga tonto dengan rapi.

Pemangku Pengarah Imigresen negeri Abu Bakar Sidek Hasan berkata, serbuan 12 pegawainya diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Mohd Yusof Hashim dilakukan hasil risikan selama dua minggu selepas menerima aduan daripada orang ramai.

Katanya, dalam serbuan itu juga, sebahagian daripada 60 pelanggan di premis itu cuba membuat provokasi bagi menggagalkan operasi berkenaan dengan menimbulkan kekecohan.

“Mereka membuat kecoh apabila pegawai kami meminta operasi pusat hiburan itu dihentikan bagi tujuan pemeriksaan, malah ada di antara mereka cuba menarik GRO yang ditahan sebelum keadaan dikawal.

“Berdasarkan aduan, ada pihak tidak puas hati kerana premis didakwa menyediakan khidmat GRO asing ini sering dikunjungi ahli keluarga mereka sehingga ada yang sanggup berhabis wang ringgit untuk berhibur di pusat hiburan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Ayer Keroh, di sini, semalam.

Sumber www.siakapkeli.com

0 Response to "‘PELAKON’ DICEKUP LEKA LAYAN GRO"

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.