Cubaan seorang wanita rakyat Malaysia untuk menyeludup syabu dengan menyembunyikan dadah itu pada seluar dalamnya, gagal apabila ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya pada 12 Mei lepas.
Wanita berusia 29 tahun itu, yang menaiki pesawat Cathay Pacific dari Hong Kong ke Surabaya, ditahan pegawai Kastam dan Eksais sejurus tiba di lapangan terbang berkenaan pada 10.45 malam.
Jurucakap Kastam dan Eksais Juanda, Iwan Heriawan berkata dadah seberat 720 gram itu ditemui dalam dua bungkus plastik yang dijahit menyerupai tuala wanita dan dilekatkan pada seluar dalam suspek.
“Pengawasan ketat terhadap wanita itu dilakukan selepas kami mengesyaki sesuatu lalu pegawai keselamatan melakukan pemeriksaan terhadap semua barang yang dibawanya termasuk seluar dalam yang dipakainya,” kata Iwan pada Rabu.
Beliau berkata dalam siasatan itu, suspek memberitahu dia diminta membawa dadah itu untuk diserahkan kepada seseorang di Jakarta.
“Dengan kerjasama Bahagian Narkotik Polis Daerah Jawa Timur, kenyataan suspek benar apabila polis berjaya menangkap seorang suspek lain iaitu warga Nigeria yang berada di Jakarta,” katanya.
Jurucakap Polis Daerah Jawa Timur, Andi Ludianto berkata pihaknya akan terus menjalankan siasatan berhubung kes itu.
“Ini modus operandi rangkaian pengedaran. Individu yang memesan barang (dadah) ada di Jakarta tetapi barang diturunkan di Surabaya. Kami masih menjalankan siasatan kes ini,” kata Andi.
Sumber BERNAMA
0 Response to "Wanita Malaysia Ditahan Sembunyi Dadah Dalam Seluar Dalam Di Surabaya"
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.