Sedih Dijangkiti HIV Selepas Jalani Ujian Darah

TAKTALA bertentang mata dengan Danial (bukan nama sebenar), terdetik di hati penulis benarkah jejaka berusia pertengahan 40-an ini positif HIV seperti diakuinya menerusi perbualan telefon sebelum itu.

Orangnya kelihatan sihat, kemas, berketerampilan, malah kehadirannya malam itu di sebuah restoran di ibu kota dihantar oleh pemandu peribadinya, menampakkan lagi dia bukan calang-calang orang.

Benar ujarnya, tiada siapa akan syak dia dijangkiti virus HIV sejak sembilan tahun yang lalu melihat kepada personalitinya itu.

Malah cerita Danial, dia sering berurusan dengan ramai orang terutamanya golongan VIP kerana perniagaannya di sebalik rahsia hitamnya itu.

"Percaya atau tidak, saya tidak pernah menjalani sebarang rawatan hospital mahupun tradisional sejak mengetahui saya dijangkiti virus HIV.

"Mental memainkan peranan penting bagi orang seperti saya. Jangan fikirkan tentang sakit yang dihidapi, hidup mesti diteruskan dan fikirkan tanggungjawab kita terutama kepada keluarga.

"Hampir 10 tahun saya disahkan positif HIV, tetapi tidak sekalipun rasa rendah diri kerana ia adalah kesilapan lalu dan kini saya boleh berbangga dengan pencapaian saya atas usaha sendiri," tegas Danial.

Imbas Danial, dia mengetahui dijangkiti HIV selepas menjalani ujian darah bersama bekas tunangnya pada 2005 ketika mereka berdua membuat keputusan untuk berumah-tangga.

Tidak menangis mahupun menyesal selepas dimaklumkan oleh doktor, Danial menerimanya dengan tenang selepas mengimbas kembali apa yang pernah dilaluinya ketika mudanya dulu.

Danial kemudian membuat keputusan untuk tidak menjalani sebarang rawatan yang dinasihatkan doktor kerana ia tidak akan memulihkannya tetapi hanya memastikan kesihatannya terjaga walhal dia tidak pernah berasa sakit.

Hentikan diskriminasi

Walaupun dia dilihat tabah menempuhi dugaan besar itu, tetapi dia terpaksa akur kepada stigma masyarakat membuatkan dia kekal merahsiakan statusnya selain kepada ahli keluarga rapatnya sahaja.

"Mentaliti orang Malaysia saya nampak suka takut yang bukan-bukan. Contohnya kalau ada wanita muda berstatus janda, semua akan takut dan risau dia akan menjadi perampas.

"Orang yang positif HIV seperti saya paling mereka takut malah ada yang memandang hina sedangkan virus ini bukan senang berjangkit pun.

"Banyak lagi penyakit lain yang perlu ditakuti tetapi kenapa perlu terlampau diskriminasi terhadap penghidap HIV?

"Bagi saya, diskriminasi sebegini tidak adil kerana ada kalangan kami mendapatnya secara tidak sengaja seperti pemindahan darah tetapi masyarakat tetap memandang keji mereka yang dijangkiti HIV.

"Seperti saya, masyarakat tak tahu yang saya positif HIV dan mereka bergaul dengan saya seperti biasa. Kalau mereka tahu, adakah layanan yang sama akan diberikan?" soal Danial.

Walaupun boleh dikatakan selesa begitu, Danial tetap merancang untuk mendedahkan rahsianya kepada umum suatu hari nanti demi mendidik masyarakat agar menghentikan diskriminasi sebegitu.

Menurut Danial, dia merasakan pihak media terlalu menggembar-gemburkan virus ini seolah-olah ia adalah penghujung dunia.

Dia faham semua itu satu propaganda bagi mengawal masalah sosial yang semakin meruncing namun berharap ia dihentikan bagi memberi keadilan terhadap golongan sepertinya.

Sumber

0 Response to "Sedih Dijangkiti HIV Selepas Jalani Ujian Darah"

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.